Al-qalb tempat bertapak keimanan dan kekufuran
MANUSIA diciptakan Allah terdiri daripada beberapa elemen utama sehingga mewujudkan identitinya iaitu jasad, akal, roh, nafsu dan hati. Namun, daripada semua unsur itu, paling penting dalam ajaran Islam yang diambil kira daripada keseluruhan amalan keagamaan adalah intinya, bentuk dalamannya iaitu hati.
Oleh itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
”Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang hati kamu. Sesiapa yang memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang itu. Ketahuilah! Wahai anak Adam orang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu. (Hadis riwayat Muslim dan Tabrani)
Di samping itu, hati manusia juga bertindak sebagai raja bagi keseluruhan anggota badan. Dengan kata lain, baik dan buruk, sejahtera atau sengsara dan sihat atau sakit bergantung kepada kedudukan hati. Jika baik hati, maka baiklah seluruh tubuh lain dan begitulah sebaliknya. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah itu ialah hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, hati memainkan peranan penting dalam mencerminkan dan juga menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seorang. Hati juga dianggap ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. Tidak berfungsi anggota badan secara keseluruhan kerana terlucut roh yang bertapak dalam hati. Hatilah tempat bertapak iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan pada masa lain, di sini juga terletak kekufuran, nifaq dan sifat mazmumah.
Paling menarik, dalam al-Quran perkataan hati disebut al-qalb yang membawa maksud sesuatu yang tidak tetap. Bertepatan dengan konotasi al-qalb, maka hati begitu mudah berubah daripada satu keadaan ke keadaan lain kerana dalam hati ada dua unsur kekuatan yang sentiasa berlawanan antara satu sama lain iaitu antara iman dengan kufur, kebaikan dan keburukan, taat dan ingkar atau hak dan batil.
Rasulullah sentiasa berdoa kepada Allah iaitu: “Ya Allah! Ya Tuhanku! Yang membolak-balikkan hati! Tetapkanlah hatiku di atas landasan agama-Mu.”
Apabila ditinjau dalam al-Quran, banyak ayat membicarakan hal hati terutama hati bersih lagi suci daripada dosa dan maksiat. Hati bersih diterangi cahaya Ilahi dan tidak terselit sedikit pun keraguan dan syirik. Seterusnya, hati bersih yakin segala yang wujud di alam semesta dicipta Allah, sekali gus bertindak sebagai pentadbir mutlak ke atas alam. Hati bersih juga terhindar daripada dendam, dengki, fitnah dan sifat tercela lain.
Dengan kata lain, hati bersih dipenuhi iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat dengan gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan tunduk yang kudus kepada Allah. Justeru, hati menjadi tempat bertapak nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain.
Perlu ditegaskan Allah memberikan ganjaran kepada hamba-Nya yang berniat untuk melakukan kebajikan, tetapi Allah tidak pula mencatatkan keburukan ataupun dosa kepada seorang yang hanya berniat di hati untuk melakukannya. Demikianlah betapa Allah bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap hamba-Nya.
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Ada sebarang komen?
0 Response to "Al-qalb"
Post a Comment